Friday, July 13, 2012

Melayu, di mana hebatnya?


Setiap bangsa mempunyai identiti yang melambangkan kehebatan mereka. Bangsa Cina terkenal kerana bilangan mereka yang begitu ramai dan berada di hampir setiap negara selain gemar berniaga. Berbeza dengan bangsa Yahudi yang terkenal dengan kehebatan mereka memungkiri janji dan pembunuh para nabi.
Apa pula hebatnya bangsa Melayu?

Bahasa dan tulisan
Bangsa Melayu mempunyai sistem penulisan yang unik kerana menggunakan banyak tulisan sepanjang kewujudan mereka, antaranya Rencong, Aksara, Jawi, Kawi, Rumi. Bahasa Melayu pada suatu ketika pernah berfungsi sebagai bahasa perantara para pedagang seluruh dunia. Bangsa Melayu juga mempunyai kehebatannya yang tersendiri, kajian alternatif menunjukkan tulisan purba orang Melayu iaitu Rencong setaraf dengan tulisan Phoenicia dan Aramaik yang berada dalam kelas utama Proto-Canaanite (di bawah kelas Egyptian Hieroglyphs). Dalam erti kata lain tulisan dan bahasa Melayu mempunyai perkaitan dengan bahasa Mesir Purba ribuan tahun dahulu.


Maka timbullah cerita mengenai darah naga (ular besar) dan Tanah Punt, iaitu tanah nenek moyang para firaun. Mengikut catatan, masyarakat Mesir Purba telah berhubung dengan Tanah Punt sejak Dinasti Kelima lagi pada pemerintahan Firaun Sahure (2500 SM), tapi ekspedisi yang paling terkenal pada zaman Ratu Hatshepsut (1500 SM). Menariknya gelaran raja dan permaisuri Punt pada waktu tersebut ialah Raja Perehu dan Permaisuri Ati. Produk utama Punt pula ialah emas yang diimport oleh Mesir Purba sejak awal tamadun mereka.

Bahasa Melayu terkenal dengan kehalusannya, kata-kata nasihat dan teguran kerap diucap melalui sindiran, pantun dan peribahasa. Biduk lalu, kiambang bertaut… Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi…

Begitu pandai orang dahulu menyusun kata agar tidak ada yang terasa. Unsur alam kerap digunakan sebagai perumpamaan. Antara filem Melayu lama yang paling menarik bagi saya ialah filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, lakonan Nordin Ahmad. Dialog Bendahara contohnya begitu halus ketika berkata-kata, diselitkan dengan pantun terutama ketika memberi nasihat kepada Laksamana Bentan yang ingin membunuh sultan.


Bahasa Melayu bukan saja dituturkan di Nusantara, tapi turut digunakan di beberapa bahagian dunia. Mungkin kerana minat bangsa Melayu dalam bidang pelayaran menyebabkan penyebaran bahasa ini. Jangan terkejut jika pengaruh bahasa Melayu juga boleh dikesan hingga ke Amerika Selatan. Kaum Maya contohnya, terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Maya ada persamaan dengan bahasa Melayu. Saya ada terbaca dalam sebuah jurnal tulisan Edward Tregear mengenai persamaan tersebut. Terdapat perkataan yang mempunyai sebutan dan makna yang langsung sama, contohnya tanah. Saya senaraikan 15 perkataan Maya yang paling hampir dengan bahasa Melayu dari segi sebutan dan maknanya.


Perkataan yang bertanda bintang ( * ) merupakan kata yang mungkin penulis terlepas pandang dan tidak diulas di dalam jurnalnya, tapi saya lihat ada persamaan dengan kata dalam bahasa Melayu. Sebenarnya ada lebih banyak persamaan perkataan Maya dengan bahasa kelompok Austronesia, sedikit Sanskrit dan Arab. Ada dua kesimpulan dari persamaan ini, pertama kaum Maya pernah berinteraksi dengan bangsa Melayu dan kedua bangsa Maya itu adalah Melayu (Austronesia). Saya cenderung untuk memilih kesimpulan kedua. Kedatangan Melayu ke benua Amerika mungkin berlaku ribuan tahun yang lalu.

Kesenian dan Kesusasteraan
Hebatnya Melayu boleh dilihat pada hasil seni dan sasteranya. Bangsa yang penuh kehalusan, kelembutan dan ketelitian. Seni ukir, menganyam, menyulam, menconteng batik, menenun songket. Pantun, syair, seloka, peribahasa, gurindam, cerita rakyat. Wayang kulit, menora, mak yong, tari-menari.

Terlalu banyak yang hendak ditulis. Walaupun hasil sastera zaman dahulu yang ada pada kita hari ini amat terhad, namun saya yakin pada masa lampau masyarakat Melayu telah membangunkan suatu sistem kesusasteraan yang unggul, hingga menarik minat para penjajah untuk merompak penulisan nenek moyang kita. Hasil sastera orang Melayu juga mempunyai format penyampaiannya yang tersendiri, contoh yang paling kerap ditemukan ialah perlambangan.


Lihat saja pantun, peribahasa, dan cerita rakyat yang penuh dengan unsur ini. Contohnya apabila ingin menceritakan daulat raja akan dikait dengan darah putih dan bermulut masin. Saya berpendapat darah putih itu merujuk kepada asal-usul keturunan raja-raja Melayu yang berasal dari golongan terhormat, seperti pendeta agama contohnya. Lihat pula kisah Naga Tasik Chini, ada menceritakan pertarungan antara naga, Sri Pahang, Sri Gumum dan Sri Kemboja. Naga di sini bukanlah seperti dalam filem. Tapi mungkin merujuk kepada peperangan antara raja-raja Melayu purba yang begitu berkuasa, mungkin berebut kuasa atau kerana cinta. Namun tidak saya nafikan kemungkinan wujud haiwan panjang bersaiz besar yang dianggap sebagai naga.


Apa yang pasti orang Melayu cukup berminat dengan hasil seni hingga hampir semua perkara di sekitar mereka pasti ada sentuhan ukiran, lukisan, dan pahatan. Lihat saja pada kain batik, tepak sireh, keris, pengukur kelapa, perahu, rumah. Kebiasaannya bermotifkan bunga-bunga dan awan larat. Anda boleh lihat contoh gambar masyarakat Kelantan pada zaman dahulu, mereka hanya berkain pelekat dan tidak berbaju. Tapi lihat keris di sisi mereka, hulunya berukir kemas, dapat dilihat walaupun dari jauh. Jika berpeluang melawat rumah mereka ketika itu, saya yakin pasti ada ukiran halus di suatu sudut, paling tidak corak tapak manggis atau bunga-bunga ringkas.

Perhatikan pembuatan keris, hasil seni bangsa Melayu yang bertaraf world first class. Ketika bangsa lain bangga dengan hiasan permata pada hulu pedang dan bilah yang berkilat, bangsa Melayu pula menikmati garisan urat pada pamor di mata keris. Mereka sanggup bersengkang mata untuk mengukir hulu keris yang tidak sampai empat inci panjangnya dengan pelbagai corak. Lain bentuk hulunya, lainlah tanah asalnya. Orang Melayu telah membina struktur mata keris yang begitu kompleks, ada lebih kurang  20 bahagian pada mata keris yang mempunyai nama dan fungsinya sendiri. Itu tidak termasuk perhiasan tambahan pada hulu dan sarung keris. Untuk apa nenek moyang kita buat semua ini, apa yang ingin sampaikan pada anak cucu mereka? Inilah warisan Melayu, pusaka yang tidak ternilai.

Perubatan
Penggunaan herba, rempah ratus dan pelbagai tumbuhan hutan tidak asing lagi dalam kalangan bangsa Melayu. Setiap tumbuhan berjaya dikenal pasti fungsinya dan bahagian mana yang perlu digunakan. Pokok Tongkat Ali contohnya, akarnya digunakan untuk mengembalikan tenaga dan kerap digunakan oleh kaum lelaki. Berbeza dengan mas cotek, daunnya digunakan untuk merawat masalah saraf dan sesuai untuk wanita.

Cuba fikirkan, bagaimana nenek moyang kita tahu bahagian mana pada tumbuhan yang perlu diambil untuk merawat penyakit tertentu. Kenapa pokok tongkat ali hanya akarnya diambil untuk memulihkan tenaga, kenapa tidak daunnya? Kenapa kulit buah manggis digunakan untuk merawat dan mencantikkan kulit, kenapa tidak akarnya? Kenapa?

Imaginasi saya yang nakal membayangkan orang Melayu dahulu mempunyai ‘makmal’ sendiri untuk mengkaji fungsi setiap tumbuhan di sekitar mereka. Hidup dikelilingi hutan hujan yang tebal membekalkan banyak sumber herba untuk dikaji. Mungkin kajian pada masa itu dibiayai oleh maharaja, kemudian hasil kajian herba mereka dibukukan dan disimpan dalam perpustakaan diraja. Beberapa salinan di buat dan disebarkan ke sekolah setiap wilayah untuk diajar kepada masyarakat.


Lain halnya rawatan yang menggunakan kaedah spiritual, bacaan pelbagai mantera dan jampi telah digunakan untuk sejak sekian lama. Ada juga kaedah rawatan yang memerlukan ritual tertentu seperti nyanyian dan tarian (mak yong, ulek mayang). Dari apa yang saya faham, nyanyian atau ayat yang dialunkan berfungsi untuk membangkitkan self healing dari diri pesakit. Namun tidak dinafikan terdapat sesetengah rawatan melibatkan aspek pemujaan dan seruan terhadap kuasa-kuasa ghaib seperti mambang tanah, air, jembalang dan sebagainya.

Pelayaran
Walaupun Melayu dikaitkan dengan gunung, tapi Melayu juga rapat dengan laut. Ilmu pelayaran bangsa Melayu tidak boleh dinafikan, hingga maharaja Melayu Srivijaya pernah digelar penguasa seluruh kepulauan (Nusantara). Berpandukan buruj di langit dan peralatan maritim, nenek moyang kita berupaya belayar ke segenap benua. Pelayar Melayu juga telah sampai ke tanah-tanah yang jauh dan membina penempatan, contohnya kepulauan Hawaii, Samoa, Madagaskar, dan sebagainya. Semua ini dapat dibuktikan melalui beberapa persamaan.


Jadi tidak hairan jika ada pengkaji Barat yang menggelar bangsa Melayu sebagai Phoenicia Timur. Bangsa Phoenicia terkenal dalam ilmu kelautan hingga berupaya membina pulau buatan sekitar pelabuhan mereka untuk mengawal perairan. Anehnya tulisan Rencong orang Melayu mempunyai bentuk hampir sama dengan tulisan orang Phoenicia.


Minat orang Melayu terhadap laut membawa kepada pembinaan pelbagai jenis pengangkutan air. Perahu, sampan, biduk, dan kapal yang bermacam jenis, bentuk dan saiz. Mungkin keadaan geografi yang dikelilingi laut dan berada di laluan perdagangan dunia telah membawa kepada pembangunan kemahiran ini. Pengurusan dalam ilmu maritim yang teratur dapat dilihat pada zaman kesultanan Melaka dengan wujudnya Undang-undang Laut Melaka. Jika hanya puluhan buah kapal yang berada di pelabuhan, mana mungkin sultan Melaka terfikir untuk merangka undang-undang laut.

Persilatan dan senjata
Tidak dapat dipastikan dengan tepat bila seni persilatan bermula, tapi usianya tersangat lama. Saya yakin silat telah wujud seusia dengan kewujudan bangsa Melayu itu sendiri. Dalam silat ada seni tari yang halus, bunga sembah, jurus, buah pukul. Sehingga kini terdapat ribuan jenis silat yang wujud dalam alam Melayu. Dari selembut Silat Pulut hinggalah sekeras Cekak. Ada yang berjurus bagai helang ada pula berpencak seperti teratai. Hinggakan ada orang Barat yang begitu mengagumi seni silat ini dan sanggup mempelajarinya melebihi orang Melayu.


Ilmu persilatan juga tidak lekang dari sisi ghaib. Amalan kebatinan seperti ilmu nafas dan bacaan ayat tertentu memantapkan lagi suatu seni silat. Namun bagai mengikut resmi padi, makin berisi makin menunduk. Orang Melayu tidak gemar mempamerkan ‘diri’ sehinggalah hak mereka diusik.

Seni bermain senjata juga tidak boleh dipisahkan dari bangsa Melayu. Keris, tumbok lada, badek, lawi ayam, parang lading, kapak kecil dan banyak lagi. Seolah-olah orang Melayu ini amat gemar bereksperimen dengan senjata. Keris merupakan senjata yang sering dikaitkan dengan alam persilatan. Kewujudan juga tidak dapat dipastikan dengan tepat, ada segelintir yang berpendapat pembuatan keris mempunyai pengaruh ular. Hulunya seakan kepala ular tedung yang sedang mengembang, mata keris yang berlok bagai badan ular yang sedang menyusur di atas tanah.

Penciptaan keris juga melibatkan pemilihan besi-besi tertentu dan wajib dalam bilangan ganjil (minimum 7 jenis besi). Pemakaian keris juga boleh dikatakan wajib bagi setiap lelaki Melayu suatu masa dahulu, hingga mereka berasa bagai berbogel jika tidak berkeris.

“ Tuan, inilah pusaka raja-raja Melayu yang tidak boleh tidak. Adapun jikalau tidak bersenjata ini seperti orang yang tidak berpakaian rasanya.” (Sultan Husain)

Bukannya ingin menunjuk hebat atau menakutkan orang, tapi orang Melayu berasa bangga menyisip keris di pinggang mereka. Sebagaimana bangganya mereka memakai tanjak atau tengkolok seperti kepala ular yang ingin mematuk. Terdapat juga adap-adap dalam pemakaian keris, selain dibelai bagaikan isteri muda. Pada waktu-waktu tertentu keris akan dimandi kemudian diasap dengan kemenyan. Penggunaan bara api dan kemenyan asalnya untuk memastikan liang-liang halus keris yang terkena air dapat dikeringkan selain berfungsi untuk mencantikkan lagi besi keris dan bertindak sebagai pewangi.


Selari dengan peredaran zaman, bangsa Melayu tidak ketinggalan menggunakan senjata api seperti terakol, istinggar, dan pemuras. Penggunaan meriam pelbagai saiz dan bentuk juga tidak asing bagi orang Melayu. Malah nenek moyang kita telah membuat inovasi dengan mencipta meriam kecil yang boleh dibawa di atas bahu seakan bazuka yang digelar lela rentaka. Kehadiran meriam begitu rapat dengan Melayu hingga ada peribahasa mengenainya. Kalau tidak berlela baiklah berela-rela.


Kedudukan di tengah-tengah jalan perdagangan membolehkan mereka mendapat maklumat yang baru tentang perkembangan senjata-senjata pada masa itu. Ini baru senjata-senjata yang berjaya pencinta sejarah Melayu temukan, mungkin ada banyak lagi senarai senjata yang pernah kita miliki atau sedang dibangunkan sebelum datangnya penjajah.

Metafizik
 Pengkaji Barat (Patrick Flanagan) ada membuat kajian mengenai kuasa pada piramid, mereka mendapati apa saja makanan, air, atau buah yang diletakkan di bawah binaan piramid atau seperti piramid (kon) akan bertahan dengan lebih lama. Biji benih pula menjadi lebih subur jika diletak di bawah piramid sebelum ditanam. Masyarakat Melayu dahulu telah memahami perkara ini lebih lama dan menggunakan cara ini dalam kehidupan seharian. Buktinya, cuba lihat bentuk saji makanan orang Melayu dari tikar mengkuang. Bentuknya kon. Seakan piramid. Orang Melayu telah mengetahui kuasa piramid, cuma tidak diterangkan kepada anak cucu.


Lihat pula apabila ada yang terkena sakit beguk (bengkak di leher). Ubatnya ialah nila. Nila yang dicampur cuka akan diletak pada tempat beguk hingga sembuh. Cuba fikir, kenapa nila yang berwarna biru menjadi pilihan? Kenapa tidak pandan yang berwarna hijau, atau kunyit, atau daun inai. Sedangkan pandan, kunyit, dan inai lebih senang diperoleh berbanding nila.
Dalam pengajian ilmu aura, tubuh manusia ada tujuh warna aura yang dipancarkan oleh tujuh cakra atau titik tenaga pada badan (ubun-ubun, dahi, leher, dada, perut, kemaluan, dan hujung dasar tulang belakang). Warna aura sama seperti warna pelangi.


Kedudukan warna biru berada di leher. Warna yang sama dengan nila. Warna aura pada tubuh manusia dapat dilihat dengan mata kasar apabila terciptanya kamera Kirlian pada abad ke-20 ciptaan saintis Rusia. Tapi bangsa Melayu sudah tahu warna aura dan lokasi yang tepat sejak sekian lama. Hebat. Cuba fikir kenapa inai dipakai di hujung jari.

Itu belum masuk bab mandi bunga. Orang Melayu cukup terkenal dengan amalan mandi bunga untuk menaikkan seri wajah, kebiasaannya melibatkan bunga yang berlainan jenis dan warna. Mengikut kajian berkaitan gelombang getaran warna, air sejuk merupakan suatu medium yang paling sesuai untuk merakam tenaga getaran warna dan boleh merawat pelbagai penyakit. Idea ini telah menjadi asas kepada rawatan mandian ais dan aromaterapi pada hari ini.

Tapi orang Melayu zaman dahulu telah memahami perkara ini dan mempraktikkannya sejak sekian lama. Amalan mandi bunga biasanya dibuat pada waktu malam, lagi ‘power’ lepas tengah malam. Kerana persekitaran yang sejuk ditambah pula dengan air dari perigi menjadikan air mandian lebih sejuk dan berupaya merakam tenaga warna dari bunga. Bacaan doa dan jampi tertentu pada air menjadikan ritual mandian lebih lengkap.


Malah masyarakat Melayu boleh dikatakan paling banyak terlibat dengan penggunaan kuasa ghaib. Santau, sentet, pasang susuk, pukau, pengasih. Amalan kebatinan tahap tinggi yang ada kalanya melibatkan jin membolehkan orang Melayu menjadi kebal, terbang, jurus jarak jauh, keluarkan roh dari jasad (meraga sukma), ghaib, dan banyak lagi.

Ingin ditegaskan. Bukan saya ingin membanggakan sisi gelap dan negatif dalam amalan orang Melayu, tidak sama sekali. Tapi ingin tunjukkan betapa berminatnya bangsa Melayu terhadap perkara ghaib di luar ilmu sains dan logik akal. Malangnya minat mereka telah diambil kesempatan oleh para jin dan syaitan untuk disesatkan. Hinggalah Islam datang untuk memulihkan semula amalan orang Melayu yang telah terpesong.

Agama

Tidak keterlaluan dikatakan bangsa Melayu merupakan bangsa yang paling banyak menukar agama mereka. Dipercayai fahaman terawal yang dianuti oleh bangsa Melayu adalah animisme atau kepercayaan kepada kuasa alam. Kemudian tiba pengaruh agama Hindu dan bangsa Melayu beramai-ramai menganuti agama ini untuk suatu tempoh yang sangat lama. Datang pula agama Buddha dan bangsa ini sekali lagi menukar agama mereka, hinggakan bangsa Melayu menjadi penyebar penting kepada agama ini.


Sebab itu, bila dibincangkan agama Buddha dan Melayu, tidak boleh tidak perlu juga menyentuh seorang sami Buddha, Dharmakirti. Seorang Melayu, tepatnya berada di Sumatera pada era Srivijaya. Penghayatan beliau begitu tinggi dalam fahaman Buddha hingga Atisa dari Tibet datang menuntut dengannya. Sehinggalah datangnya agama suci Islam. Orang Melayu sekali beramai-ramai memeluk Islam dan menghayati agama ini dengan dalam, melebihi ajaran Hindu dan Buddha. Banyak kitab-kitab agama yang dihasilkan dan berjaya melahirkan ramai ulama, mufti, dan bijak pandai agama.

Datang pula agama Kristian, ajaran ini dibawa oleh Portugis, Belanda, Sepanyol, dan British. Ramai saudara sebangsa di Filipina tumbang Islamnya, dibaptiskan oleh Sepanyol. Indonesia, walaupun Islam itu ada, tapi masih dibayangi oleh racun sekular. Tapi kita di Tanah Melayu pada era kolonial, Portugis, Belanda, dan British cuba menyebar ajaran Kristian. Kita masih bertahan, usaha penterjemahan Bible ke Bahasa Melayu juga gagal mengkristiankan Melayu secara total.


Hebat Melayu bukan hanya pada bahasanya, bukan hanya pada seninya, bukan juga pada persilatannya. Tapi kehebatan Melayu itu pada spiritual. Bangsa spiritual. Selain bangsa Arab dan Turki yang pernah kuat pengaruh Islamnya, orang Melayu merupakan bangsa ketiga. Kini bangsa Arab sudah tidak bersatu, Turki pula sangat tebal dengan sekular lebih dari Barat. Melayu kita?


Sehingga artikel ini ditulis, kuasa bangsa Melayu di Malaysia telah dipecahkan kepada tiga entiti. Walaupun perpecahan itu tidaklah sebesar di Timur Tengah, tapi agak membimbangkan. Lebih-lebih lagi ada pihak yang bertepuk tangan. Semuanya kerana politik. Nampaknya kuasa politik lebih hebat daripada apa juga usaha selama beratus tahun penjajah untuk merosakkan Melayu. Apa lagi yang dikejar? Bersatulah Melayu.